AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal menyumbang mata untuk skuad negara. FOTO AFP
AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal menyumbang mata untuk skuad negara. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat menyumbang mata sekali gus menyaksikan skuad berpasukan campuran negara tumpas 1-3 kepada Korea Selatan di separuh akhir Piala Sudirman 2023.

Aaron dan pasangannya, Soh Wooi Yik berdepan situasi genting untuk mengikat kedudukan 2-2 selepas Malaysia ketinggalan 1-2, namun semuanya musnah apabila mereka tumpas kepada Kim Won Ho-Na Sung Seung 12-12, 11-21.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat sumbang satu mata buat Malaysia. Akan cuba lagi selepas ini. Terima kasih kepada kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan," katanya selepas perlawanan tamat sebentar tadi.

Ujar Aaron, hari ini mungkin lawan lebih yakin dan melakukan persiapan lebih baik walaupun bukan gandingan asal.

"Kami kena belajar lagi untuk berdepan tekanan walaupun bukan senang. Secara keseluruhan memang boleh cakap ini adalah pasukan yang baik. Semua pemain sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain tak kira menang atau kalah.

"Walaupun capai sasaran tetapi ini bukan satu sasaran yang kita boleh terima. Ini kerana kita rasa boleh mara ke final, kadang-kadang rezeki tidak ada, kita sudah buat yang terbaik," katanya.

Impian untuk melakar sejarah mara ke final Piala Sudirman buat kali pertama tidak kesampaian dan skuad berpasukan campuran negara hanya mengulangi pencapaian 2023 mengulangi saingan 2021 (Vantaa, Finland) dan 2009 (Guangzhou, China).

Bagaimanapun, berjaya melangkah ke separuh akhir sudah mencapai sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Hasrat Malaysia untuk bermula dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tunduk kepada Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 11-21, 13-21, 7-21.

Bagaimanapun, kedudukan kembali terikat 1-1 apabila perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Jeon Hyeok Jin dengan keputusan straight set 21-11, 21-9.

Korea Selatan kembali di depan apabila K Letshanaa tidak mampu menahan asakan perseorangan nombor dua dunia, An Se Young apabila dia tumpas 10-21, 13-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 4:03 PM