Tang Jie-Ee Wei
Tang Jie-Ee Wei
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas perjalanan mereka terhenti di pusingan kedua Terbuka Malaysia, pemain beregu campuran negara Toh Ee Wei mahu bangkit menebus kegagalan itu di Terbuka India.

Kejohanan yang akan bermula dari 16 hingga 21 Januari ini penting untuk beregu negara itu dalam usaha mengukuhkan kedudukan ranking Road to Paris.

Mengakui kecewa kerana ia bukan sesuatu yang diinginkan ketika beraksi di Terbuka Malaysia, Ee Wei memohon maaf di atas kegagalannya bersama pasangannya Chen Tang Jie menyerlah di laman sendiri.

Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito apabila tunduk straight set 22-24, 14-21.

"Perjuangan kami di Terbuka Malaysia tamat di pusingan kedua. Saya sentiasa teruja bermain di hadapan penonton sendiri tapi keputusan yang diraih bukan seperti kami inginkan.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua penaja dan juga kepada penonton yang tidak pernah berbelah bagi memberi sokongan kepada kami.

"Kami berharap dapat menebus kekecewaan kali ini di kejohanan akan datang. Maaf sekali lagi untuk semuanya," kata Ee Wei.

Selepas selesai tugas di India, Tang Jie-Ee Wei dijangka akan beraksi di Thailand Master pada hujung bulan ini.

Mereka yang juga juara Terbuka Orleans kini berada di ranking kesembilan dalam senarai Road to Paris dan perlu mara sekurang-kurangnya ke suku akhir bagi memastikan kedudukan mereka untuk layak ke Paris tidak terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 4:46 PM