TANG JIE-EE WEI gagal mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia apabila tewas kepada pasangan Jepun, Yuta-Arisa. FOTO NSTP
TANG JIE-EE WEI gagal mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia apabila tewas kepada pasangan Jepun, Yuta-Arisa. FOTO NSTP
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menegaskan bahawa mereka akan bangkit dan berusaha untuk membalas dendam kekalahan mereka di suku akhir Kejohanan Badminton Dunia kepada pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Tang Jie berkata, mereka akan menganalisa corak permainan lawan agar apabila bertemu sekali lagi, Yuta -Arisa akan ditewaskan.

"Kami akui mereka (Yuta -Arisa) lawan yang sukar dan ketika berdepan mereka kami tidak bermain permainan kami.

"Kemampuan mereka di dalam gelanggang membuatkan kami bergelut untuk mendapatkan rentak. Tapi kami akan cuba berusaha lagi selepas ini dan apabila berjumpa mereka lagi di kejohanan yang lain, kami akan cuba untuk menewaskan mereka," katanya.

Beraksi buat pertama kali di Kejohanan Dunia, Tang Jie-Ee Wei muncul beregu campuran terbaik negara selepas kecundangnya dua beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat- Shevon Lai masing-masing di pusingan kedua dan ketiga.

Namun bagi Tang Jie, dia langsung tidak memikirkan perkara itu kerana apa yang diinginkan adalah untuk melakukan yang terbaik di setiap kejohanan.

"Saya tak fikir ini Kejohanan Dunia atau apa. Setiap kejohanan adalah penting bagi kami.

"Tak kiralah Terbuka China atau Sukan Asia kerana setiap kali kami main, kami akan berikan yang terbaik dalam permainan kami," katanya yang dijadual menyertai Terbuka China dari 5 hingga 10 September nanti.

Perjalanan beregu campuran negara yang kini menduduki ranking ke-17 dunia itu terhenti di suku akhir dan terpaksa akur dengan kekalahan di tangan bekas naib juara dunia dua kali itu dengan keputusan 11-21, 11-21.

Untuk rekod Tang Jie-Ee Wei sebelum ini muncul juara Terbuka Taiwan serta meraih kemenangan sulung dalam siri Jelajah Dunia di Kejohanan Master Orleans 2023 di Perancis, April lalu.

Mereka mula digandingkan bersama pada November tahun lalu dan hasilnya berjaya meraih gelaran di Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 3:04 PM