Aaron (kanan) beraksi bersama Wooi Yik. FOTO NSTP
Aaron (kanan) beraksi bersama Wooi Yik. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia mengakui bukan tugas mudah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tapi semuanya bukan perkara mustahil jika mereka mampu menghilangkan penyakit kurang konsisten.

Selepas mengejutkan ramai pihak berjaya mara ke final Seluruh England Mac lalu, Aaron bersama Soh Wooi Yik berdepan masalah kurang konsisten apabila tumpas dengan lawan ranking lebih rendah di beberapa kejohanan.

Perkara itu diutarakan oleh ketua jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman kerana baginya semua sudah cukup sempurna kecuali konsisten.

"Apa yang jurulatih katakan memang benar.

Perkara paling penting sekarang ini bagaimana kami perlu kekalkan prestasi dan terus konsisten," kata Aaron dihubungi Arena Metro, hari ini.

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, tiada jalan mudah atau singkat buat mereka jika bercita-cita beraksi di Olimpik buat kali pertama tahun depan.

"Kami harus memperkuatkan mental dan berusaha keras di dalam latihan. Itu saja caranya jika mahu terus meningkatkan ranking kelayakan Olimpik," katanya.

Selepas kejutan di Seluruh England, Aaron-Wooi Yik terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia dan mereka mengulangi episod sama di Terbuka Singapura.

Di Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka New Zealand mereka mara sehingga ke suku akhir namun terkandas pada pusingan pertama ketika beraksi di Terbuka Australia.

Berdasarkan ranking Olimpik, Aaron-Wooi Yik sekarang ini berada di kedudukan ke-10, diikuti Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (13) dan V Shem-Wee Kiong (21).

"Kami harus segera mengorak langkah untuk memperbaiki kedudukan ranking ini.

Bagaimanapun, untuk kejohanan yang akan datang termasuk Terbuka Indonesia bulan depan, kami tidak meletakkan sebarang sasaran di atas kertas.

"Bagaimanapun, kami mempunyai sasaran tersendiri di dalam fikiran kami dan saya rasa ia sangat baik berbuat demikian untuk mengurangkan sedikit tekanan," kata Aaron.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 4:51 PM