PEMAIN perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia. FOTO arkib NSTP
PEMAIN perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia. FOTO arkib NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Hanya pingat emas menjadi sasaran pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia pada Sukan Olimpik Paris yang bakal berlangsung dari 26 Julai sehingga 11 Ogos depan.

Jelas Zii Jia, kejayaan melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu belum cukup untuk memuaskan hatinya kerana dia percaya mampu melakukan lebih daripada itu.

"Secara jujurnya, bukan cakap saya sombong atau apa...sasaran saya bukan untuk layak ke Olimpik tetapi sasaran saya adalah untuk memenangi Olimpik.

"Saya tahu saya ada potensi untuk menang. Namun, saya sedar saya masih bergelut dengan prestasi (tidak menentu).

"Sebab utama saya tidak meraikannya (layak ke Olimpik) adalah seperti yang saya katakan, sasaran utama adalah untuk memenangi Olimpik, bukannya layak," kata Zii Jia menerusi rakaman suara yang dikongsikan di Twitter rasmi Team LZJ, semalam.

Zii Jia yang ketika ini menduduki ranking ke-10 dunia, menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki yang layak ke temasya di Paris menerusi senarai akhir yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Ia adalah penampilan kali kedua Zii Jia beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu selepas tampil kali pertama di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikannya tewas di tangan sensasi China, Chen Long di pusingan kedua.

Jelas Zii Jia, kejayaan layak ke Olimpik buat kali kedua berturut-turut adalah pencapaian yang besar bagi dirinya selepas bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei melakukannya sebanyak empat kali iaitu di Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

"Dalam proses kelayakan ini, saya dapati ia bukanlah perkara mudah. Macam Ng Tze Yong (pemain perseorangan lelaki kedua negara), dia sedikit lagi boleh layak tetapi selepas alami kecederaan (belakang), terus habis.

"Secara jujurnya, saya bersimpati dengan Tze Yong tetapi saya beritahu dia untuk tidak beri tekanan kepada diri sendiri dan terlalu banyak fikir negatif. Saya boleh bermain dua kali di Olimpik.

"Selepas Chong Wei, saya pemain yang berjaya bermain lebih daripada sekali. Saya beritahu kepada diri sendiri, ini adalah pencapaian yang besar.

"Walaupun belum menang pingat lagi tetapi ini adalah sesuatu yang positif untuk meningkatkan lagi tahap keyakinan saya.

"Kita pun tidak tahu sama ada saya boleh bersaing di Olimpik lagi selepas ini tetapi ini adalah kejohanan terbesar untuk semua atlet. Saya harap bebas daripada kecederaan dan berada pada tahap terbaik untuk bersaing di Olimpik kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 8:35 AM