ZII Jia bakal beraksi di Olimpik Tokyo. FOTO BAM
ZII Jia bakal beraksi di Olimpik Tokyo. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kali pertama mewakili negara di pentas Olimpik, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memasang impian untuk melakukan kejutan pada temasya itu.

Berbaki hanya sebulan, juara Seluruh England 2021 itu giat menjalani latihan intensif dengan memberi tumpuan memperbaiki setiap kelemahan supaya mampu beraksi pada tahap optimum.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia tidak akan mensia-siakan peluang beraksi di pentas Olimpik walaupun berhadapan dengan lawan yang lebih hebat.

"Ini adalah matlamat saya untuk layak ke Olimpik malah berasa bangga kerana bukan senang untuk menempatkan diri di kejohanan berprestij itu. Sekarang ini, saya tengah bersedia dan barisan kejurulatihan akan bantu memperbaiki kelemahan yang ada.

"Walaupun ketika ini latihan agak sukar berikutan pandemik Covid-19, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) banyak membantu menyediakan kemudahan.

"Ini adalah cabaran yang perlu saya lalui dan berharap dapat mengharunginya dengan membawa pulang berita gembira untuk semua," katanya.

Terdahulu, Zii Jia dan pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersenarai antara pemain badminton negara yang akan menggalas cabaran ke Olimpik.

Turut mengesahkan tempat ke kejohanan empat tahun sekali itu adalah Soniia Cheah (perseorangan wanita), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 7:06 PM