MISBUN berkata faktor undian memainkan peranan. FOTO ROHANIS SHUKRI
MISBUN berkata faktor undian memainkan peranan. FOTO ROHANIS SHUKRI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek mengingatkan bukan sesuatu yang mudah untuk wakil negara memenangi pingat terutamanya emas pada Sukan Olimpik Paris bermula bulan depan.

Bukan memandang rendah keupayaan barisan pemain negara, namun Misbun sekadar memberi peringatan bahawa pada pandangannya barisan pemain dari negara lain melakukan persiapan lebih baik menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.

"Barisan pemain perseorangan, beregu (lelaki dan wanita) serta beregu campuran negara apa yang saya lihat ada peluang (memenangi pingat) tetapi saya tak dapat teka (siapa yang mampu memenangi pingat) sebab Olimpik kali ini bukan senang.

"Daripada kejohanan untuk mendapatkan mata layak ke Olimpik sebelum ini, saya nampak China dan Indonesia unggul dalam acara perseorangan. Tetapi oleh kerana terlalu banyak sangat kejohanan, pemain mereka nampak tidak stabil.

"Negara lain pula saya lihat hanya boleh menjadi pencabar, iaitu mereka hanya boleh mengambil kesempatan daripada undian yang berlangsung nanti. Faktor undian memainkan peranan kepada mereka untuk cuba mencari peluang.

"Sukan Olimpik adalah sangat berprestij, jadi semua pemain tidak kira apa juga tahap mereka, mempunyai matlamat yang sama. Peluang pemain negara tetap ada tetapi persoalannya bagaimana mereka mahu mendapatkan prestasi terbaik ketika hari pertandingan itu nanti," katanya.

Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dilihat mempunyai peluang untuk memenangi pingat di Paris selepas mempamer prestasi memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.

Pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu meraih gelaran keduanya bagi musim ini di Terbuka Australia selepas turut menjuarai Terbuka Thailand pada pertengahan Mei lalu.

Paris 2024 bakal menjadi penampilan kedua buat Zii Jia di pentas Olimpik selepas Tokyo 2020 yang menyaksikan dirinya tersingkir di pusingan 16 terbaik di tangan pemain China, Chen Long.

Selain Zii Jia, harapan untuk memenangi pingat di Paris turut disandarkan kepada pemenang pingat gangsa Tokyo 2020 iaitu beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Turut mewakili negara di Paris adalah Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 1:14 PM