Zii Jia.
Zii Jia.
Harian Metro

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu melakukan sesuatu dari sekarang sekiranya berhajat untuk memastikan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia mampu layak ke temasya Olimpik.

Berdasarkan prestasi dipamerkan pemain berusia 22 tahun itu sepanjang tiga kejohanan yang berlangsung di Thailand, BAM sudah dapat membayangkan di mana kedudukan pemain itu sekarang.

Paling ketara prestasinya kelmarin dalam aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan A apabila tewas mudah kepada pemain Denmark, Viktor Axelsen, 15-21, 4-21.

Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim mengakui bagaikan ada yang tidak kena dengan corak permainan Zii Jia.

Katanya, Zii Jia seperti hilang semangat berlawan dan tiada keinginan untuk menang.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Daripada apa yang saya lihat dia seperti tiada semangat untuk menang. Kalau tak salah saya, hampir 11 kali di set kedua dia melakukan kesilapan di jaring.

"Dia seperti tak ada semangat nak melawan. Kalau tanya apa puncanya saya pun tak boleh nak cakap. Jadi BAM lah yang perlu mainkan peranan untuk mencari apa salah dan puncanya.

"Zii Jia bukan muda lagi. Kalau nak cakap mengenai pengalaman, dia dah banyak pengalaman. Dia pernah main dengan ramai pemain ternama dan keputusan dilakarkan di Thailand itu jauh daripada apa yang diharapkan oleh semua orang yang mengharapkan dia menjadi pengganti kepada (Datuk) Lee Chong Wei," katanya.

''Cabaran sebenar Zii Jia akan bermula Mac ini apabila mata kelayakan ke Sukan Olimpik bakal disambung. Kalau prestasi dia macam ini, jangan kata pingat, silap-silap nak layak ke Sukan Olimpik pun tak boleh sebab asyik kalah awal.

''Kemudian keadaan dunia dengan Covid-19 ini pun tak menentu juga menyukarkan dia untuk mengumpul mata kerana saya pasti BAM tidak akan menyertai semua kejohanan kerana bimbang keselamatan barisan pemain negara selain kos semakin meningkat apabila pemain perlu ke destinasi pertandingan lebih awal daripada biasa kerana perlu menjalani kuarantin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 7:01 AM