ZII Jia bakal turun sebagai pemain perseorangan pertama negara di Piala Thomas 2024 di Chengdu, bermula Sabtu ini. FOTO ARKIB NSTP
ZII Jia bakal turun sebagai pemain perseorangan pertama negara di Piala Thomas 2024 di Chengdu, bermula Sabtu ini. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengalaman pada edisi Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand menjadi pengajaran berguna buat pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia.

Akan turun mengalas misi sebagai perseorangan pertama negara di apabila saingan Piala Thomas membuka tirainya Sabtu ini, Zii Jia berkata, dia tidak memikirkan perkara lain selain hanya mahu fokus kepada perlawanannya.

Katanya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak kali terakhir Malaysia memenangi Piala Thomas edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Jadi, bagi pemain berusia 26 tahun yang disandarkan harapan untuk menyumbangkan mata pertama apabila turun berdepan Hong Kong berkata, semua pemain harus realistik kerana skuad negara kali ini bukanlah yang terkuat susulan ketiadaan perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong yang digugurkan pada saat akhir selepas belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang.

"Bagi saya jangan terlalu meletakkan harapan tinggi sebab kita harus sedar jika melihat kepada senarai pemain, kita bukan yang terkuat.

"Hampir setiap edisi Piala Thomas pun kita dalam posisi orang tidak letak harapan yang banyak.

"Tapi kita bukan nak kalah cuma hanya kurangkan tekanan. Jadi, saya fikir lebih baik kita fokus untuk berikan yang terbaik kerana kalau letak harapan tinggi takut ia beri tekanan," kata Zii Jia sebelum berlepas ke Chengdu bersama skuad negara, hari ini.

Katanya, apa yang berlaku di Thailand memberi pengajaran berguna kepada skuad negara terutama selepas menang ke atas Jepun.

"Saya tidak memikirkan mengenai tamatkan kemarau kejuaraan, tapi saya mahu fokus permainan saya.

"Apa yang berlaku di Thailand pada edisi lalu memang bagi satu pengajaran. Kita yakin lepas menang dengan Jepun, tapi tak sangka akan kalah berdepan India.

"Masa itu kita sangat yakin tapi tiba-tiba kalah, semua tak kecewa tapi terkejut," katanya.

Berdasarkan senarai pemain, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-10 dunia dijangka turun berdepan Lee Cheuk Yiu yang menduduki ranking ke-15.

Rekod pertemuan memihak kepada pemain Hong Kong itu yang menang dua daripada tiga pertemuan mereka sebelum ini.

Zii Jia sebelum ini tidak menyertai kem latihan pusat skuad negara kerana sudah menyusun program latihan tersendiri bersama jurulatihnya, Wong Tat Meng dalam misi ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain Zii Jia dan Leong Jun Hao, skuad negara turut menyenaraikan Cheam June Wei dan Justin Hoh dalam acara perseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 9:31 PM