Datuk Rashid Sidek
Datuk Rashid Sidek
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Peluang setiap pasukan termasuk Malaysia untuk menjulang Piala Thomas di Aarhus, Denmark bermula 9 hingga 17 Oktober ini sebenarnya terbuka luas.

Demikian pandangan bekas pemain perseorangan negara, Datuk Rashid Sidek yang tidak menafikan skuad muda negara juga berpeluang memenangi piala berprestij itu yang kali terakhir dimenangi oleh Malaysia pada 1992.

Jelas Rashid yang menjulang piala berprestij itu di Kuala Lumpur 29 tahun lalu, kebanyakan barisan pemain utama dunia gagal mempamerkan aksi sebenar mereka selepas berakhir Sukan Olimpik Tokyo sekali gus memberi peluang kepada barisan pemain muda untuk lebih menyerlah.

"Kalau masih ingat, skuad negara yang beraksi pada 2014 di New Delhi tidak diberikan sebarang harapan. Tapi kita berjaya mara sehingga ke final dan hampir muncul juara sebelum tewas kepada Jepun.

"Jadi, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita melakukannya sekali lagi pada edisi tahun ini walaupun pasukan kita dibarisi pemain muda.

"Bagi saya, pemain muda perlu memanfaatkan peluang beraksi dalam kejohanan besar seperti ini untuk membuktikan kemampuan masing-masing. Tunjukkan komitmen 100 peratus dan tidak perlu takut.

"Kalah atau menang itu adat pertandingan, yang penting tunjukkan semangat juang tinggi," katanya.

Rashid berkata, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal menjadi harapan utama untuk memungut mata.

"Jika mereka menang, ia pastinya akan membakar semangat pemain lain untuk turun bertemu lawan mereka selepas itu," katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun dan Kanada selepas England menarik diri berikutan tiga pemain perseorangan utama mereka mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 6:56 PM