ZII Jia (kiri) mengakui mereka tidak boleh terlalu gembira sangat selepas muncul juara sebab negara lain membariskan pasukan kedua. FOTO ASWADI ALIAS
ZII Jia (kiri) mengakui mereka tidak boleh terlalu gembira sangat selepas muncul juara sebab negara lain membariskan pasukan kedua. FOTO ASWADI ALIAS
Saiful Affendy Sapran


Shah Alam: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengingatkan dirinya serta rakan sepasukan lain agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), hari ini.

Jelas pemain yang menduduki ranking ketujuh dunia itu, skuad negara harus menyedari bahawa kejayaan itu sedikit sebanyak dibantu oleh keputusan negara lain tidak membariskan pasukan terkuat.

Malaysia melakar sejarah muncul juara BATC buat kali pertama selepas menewaskan seteru utama, Indonesia 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus membalas dendam kekalahan kepada Indonesia pada final dua tahun lalu di Manila, Filipina yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3.

"Kita tidak boleh terlalu gembira sangat selepas muncul juara sebab negara lain membariskan pasukan kedua.

"Saya sendiri ingatkan kepada diri sendiri agar tidak terlalu mendabik dada. Benar, kita muncul juara dan boleh meraikannya tetapi tidak perlu terbawa-bawa sangat.

"Bagi saya, kita boleh menganggap ia sebagai mempertahankan prestasi semasa skuad negara.

"Kita harus segera melakukan persiapan untuk saingan seterusnya terutama Piala Thomas yang mana pasukan lain pastinya akan membariskan pemain terkuat mereka," kata Zii Jia.

Selepas ini skuad negara akan memberi fokus kepada saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 8:40 PM