CHONG Wei (kanan) melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Aisportz, Vincent Siow ketika majlis pelancaran sukan Aisport Golden Driven di Royal Selangor Visitor Centre. FOTO  Hairul Anuar Rahim
CHONG Wei (kanan) melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Aisportz, Vincent Siow ketika majlis pelancaran sukan Aisport Golden Driven di Royal Selangor Visitor Centre. FOTO Hairul Anuar Rahim
Aida Adilah Mat


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia perlu bijak menangani tekanan kerana tugas yang dipikul pada saingan Piala Thomas di Denmark, Oktober depan bukan mudah.

Bekas pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata, Zii Jia harus mengambil cabaran itu dan cuba berusaha menangani segala permasalahan yang bakal timbul.

Chong Wei berkata, cabaran bermain dalam acara berpasukan dan individu adalah berlainan sama sekali di mana dalam acara berpasukan mata pertama itu adalah penting untuk meneruskan perjuangan skuad negara.

"Macam saya dulu, saya sentiasa fokus kepada perseorangan pertama. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada Zii Jia tapi bagi setiap negara, perseorangan pertama itu sangat penting untuk pasukan.

"Bermain acara pasukan lebih memberi tekanan. Dia mengetuai pasukan untuk dapat mata pertama negara. Acara beregu tidaklah tertekan sangat. Tapi saya yakin dengan Zii Jia. Dia boleh pikul tanggungjawab sebagai pemain perseorangan pertama negara.

"Jadi buat yang terbaik. Hendrawan seorang jurulatih berpengalaman dan sudah banyak kali beraksi di Piala Thomas. Begitu juga dengan Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Mereka pasti akan bantu Zii Jia," katanya.

Semalam, berlangsungnya undian Piala Thomas yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark bermula 3 hingga 11 Oktober ini di mana Indonesia sekali lagi dilihat menjadi penghalang buat skuad negara dalam Kumpulan A yang diundi bersama England dan Belanda.

Bagaimanapun Chong Wei berkata, skuad negara mempunyai peluang sama ada untuk muncul juara atau naib juara namun ia terpulang kepada perancangan jurulatih.

"Melihat kepada undian kita mempunyai peluang. Saya yakin kita tidak mempunyai masalah untuk melepasi peringkat kumpulan nanti. Tapi semuanya bergantung kepada jurulatih. Siapa yang kita mahu jumpa di pusingan kalah mati nanti. Jadi saya harap jurulatih dan pengarah kejurulatihan akan melakukan perancangan yang terbaik kali ini untuk negara," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Aisportz Gold Driven, platform maya untuk rakyat Malaysia di Royal Selangor Visitor Centre, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 9:56 PM