Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan beregu lelaki dan campuran untuk mempertahankan tiga emas yang di menangi pada edisi lalu di temasya Sukan Sea Vietnam Mei ini.
Skuad badminton negara kali ini akan dibarisi oleh barisan pelapis dan pemain remaja selepas skuad senior akan memberi fokus kepada aksi Piala Thomas/Uber Mei ini di Bangkok, Thailand.
Harapan skuad negara diletakkan kepada gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagi acara beregu lelaki selain Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei masing-masing untuk acara beregu campuran.
Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berkata, ketiga-tiga pasangan itu menjadi sandaran negara berdasarkan prestasi semasa mereka.
"Kita mempunyai harapan yang cerah untuk meraih emas. Selain dalam acara beregu, kami juga melihat sasaran pingat boleh diletakkan dalam acara berpasukan dan juga beregu wanita," katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata keputusan yang diambil untuk menghantar skuad pelapis dan remaja bagi menghadapi temasya kali ini adalah kerana jadual yang padat beberapa pertandingan utama.
Selain daripada Sukan Sea, Piala Thomas/Uber turut akan berlangsung di Bangkok, Thailand dari 8 hingga 15 Mei ini.
"BAM memberi keutamaan pada Piala Thomas/Uber tapi dalam masa yang sama Sukan Sea juga penting dan saya percaya biarpun kita hantar pemain pelapis dan remaja, mereka akan beri yang terbaik.
"Mengenai sasaran, kami diingatkan oleh jawatankuasa yang mana pada edisi terakhir sebelum ini kami memenangi tiga emas. Jadi, walaupun hanya menyenaraikan pemain muda lebih kepada pendedahan tetapi seperti yang saya katakan tadi, kami akan cuba yang terbaik," katanya yang menyenaraikan 10 pemain lelaki dan 10 pemain wanita.
Pada edisi 2019 di Manila, skuad badminton negara melakar pencapaian terbaik selepas tempoh 44 tahun apabila membawa pulang tiga emas, dua perak dan lima gangsa.
Tiga emas itu disumbangkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.