EE Yi-Yew Sin perkasa cabaran beregu.
EE Yi-Yew Sin perkasa cabaran beregu.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tiada sebab untuk skuad badminton lelaki negara gagal melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand yang akan membuka tirainya Isnin ini.

Menurut bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim, tiga lawan dalam Kumpulan D iaitu Jepun, England dan Amerika Syarikat (AS) boleh dilepasi, dengan skuad negara wajib menewaskan England serta AS.

"Kalau ikut pada prestasi semasa, kita tak ada masalah nak lepasi peringkat kumpulan Piala Thomas. Kalau sengit pun dari Jepun sahaja, tetapi dua lagi pasukan wajib untuk kita tewaskan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, cabaran sebenar adalah di peringkat kalah mati iaitu di suku akhir.

"Peringkat kumpulan bukan ujian sebenar, tetapi halangan terbesar adalah di suku akhir. Jadi saya harap kita boleh muncul dua pasukan terbaik kumpulan untuk ke suku akhir nanti.

"Kalau boleh dapat jadi juara kumpulan lagi baik, kerana juara setiap kumpulan akan diletakkan dalam kedudukan 1-4, manakala naib juara pula akan diundi untuk jumpa juara kumpulan.

"Mungkin kita akan jumpa Jepun semula mana tahu, tapi kalau boleh biar jadi juara kumpulan supaya motivasi pemain juga berada dalam situasi terbaik," katanya.

Di Bangkok nanti, perseorangan lelaki nombor satu, Lee Zii Jia akan mengetuai pasukan negara diikuti Liew Daren dan Ng Tze Yong untuk menjadi perseorangan kedua dan ketiga negara.

Dalam acara beregu pula, tiga pasangan akan menguatkan pasukan terdiri daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi Piala Thomas adalah pada 1992, dengan selepas itu skuad negara hanya mampu muncul naib juara sebanyak empat kali iaitu pada edisi 1994 di Jakarta diikuti Hong Kong (1998), Guangzhou (2002) serta New Delhi (2014).

Sementara itu, mengulas mengenai peluang skuad badminton wanita negara dalam Piala Uber, Roslin hanya mengharapkan pemain turun dengan semangat juang untuk meraih mata.

"Dari dulu kita tahu kemampuan pasukan wanita kita masih ketinggalan jauh terutama dalam Piala Uber ini. Kalau boleh, saya harap kita beri tentangan yang sengit dan kalau kalah pun biarlah kalah dengan bermaruah.

"Janganlah sampai dibelasah 5-0 lagi, kalau nak kalah pun biarlah 3-2 ke atau 4-1 ke, sekurang-kurangnya dapat satu mata pun jadi," katanya.

Dalam Piala Uber, skuad wanita negara diletakkan dalam Kumpulan C bersama Thailand, Denmark dan Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 4:08 PM