ZII Jia kini menduduki ranking ke-10 dunia. FOTO ARKIB NSTP
ZII Jia kini menduduki ranking ke-10 dunia. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mahu memastikan cabaran di Terbuka Perancis yang bermula esok berakhir dengan kenangan terindah.

Zii Jia yang kini menghuni tangga ke-10 dunia bakal menentang wakil Denmark, Magnus Johannesen pada pusingan pertama.

Sepanjang beraksi di jelajah Eropah, Zii Jia sudah 11 kali mara ke separuh akhir dan merekodkan dua kejuaraan dalam lima aksi final diharunginya iaitu Seluruh England 2021 dan Terbuka Artik di Finland, tahun lalu.

Dia memulakan saingan musim ini dengan keputusan positif apabila mara sehingga suku akhir dalam dua daripada tiga kejohanan disertainya iaitu Terbuka India dan Masters Indonesia.

Selain itu, dia membantu skuad lelaki negara muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, bulan lalu apabila menang semua tiga perlawanan.

Jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng berkata, pemain itu menunjukkan peningkatan prestasi positif sejak dia mula membimbingnya pada Julai tahun lalu, tetapi masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sepenuhnya dengan corak latihan diterapkannya.

"Memang ada peningkatan, tetapi tidak terlalu cepat. Saya pun tidak mengharapkan prestasinya meningkat terlalu cepat kerana baru beberapa bulan saya menjadi jurulatihnya.

"Apa yang lebih penting, saya nampak dia kini semakin stabil dan lebih yakin dengan corak latihan saya. Dia perlu diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan berbeza," katanya.

Saingan Terbuka Perancis kali ini dilihat sebagai peluang Zii Jia untuk memperbaiki kedudukan ranking duninya apabila dia akan melonjak ke tangga kelapan sekiranya berjaya mara ke final.

Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah buat bekas juara Asia itu apabila dia dijangka bertemu pilihan kedua dari China, Shi Yuqi jika mara ke pusingan kedua.

Pada masa sama, dia berkemungkinan bertemu dua lagi lawan sukar iaitu pemain Denmark yang menduduki ranking nombor tiga dunia, Anders Antonsen dan nombor enam dunia dari Jepun, Kodai Naraoka dalam laluannya untuk ke final.

Selepas Terbuka Perancis, Zii Jia akan mengharungi dua lagi kejohanan di Eropah iaitu Seluruh England, minggu depan dan Terbuka Switzerland (19 hingga 24 Mac).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 4:44 PM