ZII Jia tewas di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, semalam. FOTO BADMINTON PHOTO
ZII Jia tewas di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, semalam. FOTO BADMINTON PHOTO
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas pemain legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj tetap dengan pendirian bahawa pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia perlu mempunyai jurulatih yang boleh membimbingnya ketika beraksi.

Tegas James, Zii Jia sebenarnya sudah mempunyai pakej lengkap sebagai seorang pemain terutama dari aspek fizikal dan penguasaan permainan, sekali gus mampu muncul juara di mana-mana kejohanan.

Namun, katanya, kelemahan ketara pemain berusia 25 tahun itu ialah tiada pihak yang dapat membantunya untuk menganalisis corak permainan serta menegur kekurangannya ketika beraksi di atas gelanggang.

"Dia (Zii Jia) mempunyai segala-galanya, pukulan kuat, fizikal tinggi selain kualiti permainan yang bagus. Sebagai orang luar, kita pun pastinya akan sentiasa memberi sokongan kepadanya.

"Tapi sekarang dia perlu 'menolong dirinya' sendiri. Dia kena tanya diri sendiri apa yang tidak kena kepadanya sehinggakan tidak boleh menang? Jika dia tewas pada aksi final, mungkin kita boleh katakan nasib tidak menyebelahinya, tapi ini tewas di pusingan pertama.

"Memang dia ada berlatih di luar negara termasuk di Hong Kong, tetapi itu semua masih belum mencukupi. Dia perlu mempunyai pasukan yang lengkap termasuklah jurulatih yang dapat menganalisis permainannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekalahan Zii Jia di pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Pilihan ketiga kejohanan yang juga juara bertahan itu tewas straight set 19-21, 16-21 di tangan wakil Hong Kong, Ng Ka Long.

Ka Long yang ketika ini menduduki ranking ke-17 dunia dan masih segar memenangi Terbuka Jerman bulan lalu, hanya memerlukan tempoh 39 minit untuk menewaskan Zii Jia.

Pada edisi tahun lalu di Manila, Filipina, Zii Jia muncul juara Asia buat kali pertama selepas menewaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie di final.

Zii Jia sebelum ini kekal dengan pendiriannya untuk terus beraksi tanpa bimbingan jurulatih meskipun dinasihatkan beberapa bekas pemain kebangsaan termasuk James.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 6:16 PM