LEE Zii Jia merangkul dua gelaran individu, tahun ini. FOTO BADMINTON PHOTO
LEE Zii Jia merangkul dua gelaran individu, tahun ini. FOTO BADMINTON PHOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memiliki dua faktor mampu menggondol Anugerah Ikon Sukan (AIS) yang julung kali dianjurkan Harian Metro bersama penaja utama, Gardenia Breakthru.

Pertama prestasi meyakinkan tahun ini mampu menambat perhatian juri profesional manakala kedua, pemain itu mempunyai ribuan 'tentera' di media sosial yang bakal memberikan undian buatnya tanpa perlu bekerja keras.

Pemain kelahiran Kedah yang baru sahaja melonjak ke ranking kedua dunia berjaya mengharungi pahit jerih sebagai seorang pemain profesional bermula awal tahun ini dengan merangkul beberapa pencapaian cemerlang.

Ia bermula dengan membantu skuad badminton lelaki negara muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam selepas menumbangkan Indonesia 3-0 di final.

Selepas cemerlang dalam acara berpasukan Zii Jia meneruskan momentum bagi saingan individu Kejohanan Badminton Asia dengan muncul juara selepas mengalahkan Jonatan Christie (Indonesia) di pentas akhir.

"Zii Jia buktikan dia kini dalam landasan meneruskan legasi Malaysia dalam acara perseorangan lelaki apabila menduduki tangga kedua dunia.

"Anak muda dari Kedah ini sudah dianggap sebagai antara pencabar hebat dalam era perseorangan lelaki dunia ketika ini," kata wartawan badminton Utusan Malaysia, Adam Karim.

Pemain berusia 24 tahun itu berjaya merangkul gelaran Super 500 apabila muncul juara Terbuka Thailand, dengan menumpaskan Li Shefeng dari China.

"Ribuan peminat yang berada di belakang Zii Jia bakal menjadi kekuatan dan kelebihan buat pemain ini untuk memancing undi memenangi anugerah ini (AIS)," kata Adam yang pernah membuat liputan ketika Zii Jia beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, wartawan badminton New Straits Times, Fabian Peter turut mengakui Zii Jia berpeluang cerah untuk memenangi AIS kategori Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, sekali gus berpeluang muncul pemenang utama Anugerah Sukan Terbaik.

"Dia mampu (muncul juara AIS), berdasarkan persembahan meyakinkan sejak menjadi pemain profesional. Berdasarkan ranking dunia ia sudah melonjak dengan mendadak. Tahun ini sahaja dia sudah menang dua kejuaraan dan bantu pasukan lelaki juara BATC.

"Dia berjaya mara ke final Terbuka Denmark dan paling penting mempunyai kumpulan peminat yang kuat," kata Fabian.

Zii Jia dijangka meneruskan aksi musim ini dengan menyertai Terbuka Australia yang berlangsung dari 15 hingga 20 November di Sydney.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 10:16 PM