LIEK Hou (dua dari kiri) turut beraksi cemerlang bagi acara beregu. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
LIEK Hou (dua dari kiri) turut beraksi cemerlang bagi acara beregu. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan para badminton nombor satu dunia, Cheah Liek Hou masih belum berpuas hati dengan prestasinya di Kejohanan Badminton Para di Pattaya, Thailand minggu lalu.

Menurutnya, meskipun berjaya meraih kejuaraan berganda dalam acara perseorang lelaki dan beregu lelaki dalam kategori SU5, Liek Hou melihat masih banyak kesilapan mudah yang dilakukan di dalam kejohanan itu.

Tambahnya, faktor gelanggang juga mempengaruhi permainannya sepanjang kejohanan itu berlangsung.

"Kemenangan hari ini (semalam) saya rasa kurang berpuas hati sebab saya banyak melakukan kesilapan mudah. Saya baiki semula kesilapan itu. Malah pembukaan gelanggang di sini juga saya kurang berpuas hati.

"Sebelum mereka letak karpet badminton, mereka letak seperti yogamap itu. Jadi itu menjadikan pergerakan kita lambat sebab dia sangat lembut dan pergerakan kita perlahan berbanding sebelum ini.

"Hendak lompat dan lari pun susah. Saya tidak dapat menunjukkan prestasi yang bagus tapi saya bersyukur boleh kawal dan menang kejohanan ini,"katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, memandangkan dirinya sudah mengesahkan tempat ke Paralimpik Paris 2024 nanti, dia dan barisan jurulatih akan melihat semula u kejohanan akan datang sebelum menyertainya bagi mengelak dari sebarang kecederaan terjadi pada dirinya.

"Tidak semua pertandingan (akan sertai) sebab ini kejohanan (Badminton Para di Pattaya, Thailand) terakhir untuk kelayakan ke Paralimpik Paris 2024. Jadi saya akan pilih beberapa kejohanan yang penting dan peringkat dia yang tinggi untuk masuk bertanding.

"Untuk perancangan di Paralimpik nanti, saya tidak mahu melihat terlalu jauh kerana faktor umur juga salah satu sebab dan saya akan fokus dari semasa ke semasa bagi mengelak diri mengalami kecederaan,"kata Liek Hou.

Terdahulu Arena Metro melaporkan pemain perseorangan para badminton nombor satu dunia, Cheah Liek Hou terus membuktikan dirinya berada di kelas tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran dunia buat kali kelapan di Kejohanan Badminton Para di Pattaya, Thailand, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus memberi isyarat awal kepada lawannya bahawa dirinya bersedia untuk mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 2:12 PM