LIEK Hou (dua dari kiri) turut beraksi cemerlang bagi acara beregu. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
LIEK Hou (dua dari kiri) turut beraksi cemerlang bagi acara beregu. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan para badminton nombor satu dunia, Cheah Liek Hou terus membuktikan dirinya berada di kelas tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran dunia buat kali kelapan di Kejohanan Badminton Para di Pattaya, Thailand, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus memberi isyarat awal kepada lawannya bahawa dirinya bersedia untuk mempertahankan pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Namun ia bukan kemenangan mudah apabila Liek Hou terpaksa bermain tiga set sebelum mengesahkan kemenangan ke atas lawan dari Indonesia, Deva Anrimusthi 21-15, 16,21, 21-15 yang berlangsung selama 62 minit dalam aksi final hari ini bagi kategori SU5 hari ini.

Sebelum ini, pemain berusia 36 tahun itu turut merangkul gelaran juara pada edisi 2005, 2007, 2011, 2013, 2015, 2017 dan 2022.

Selain itu, Liek Hou sekali lagi turun beraksi cemerlang bagi acara beregu kategori yang sama dan muncul juara bersama gandingannya, Muhammad Fareez Anuar.

Gandingan dia bersama Fareez ternyata tiada masalah untuk mengesahkan kejuaraan selepas memerlukan 30 minit sahaja untuk menewaskan pasangan India, Chirag Baretha-Raj Kumar 21-17, 21-18 di final.

Untuk rekod, ini adalah gelaran dunia keenam Liek Hou dalam acara beregu selepas turut muncul juara pada edisi 2005, 2007, 2011, 2013 dan 2015.

Hasrat beregu lelaki, Noor Azlan Noorlan-Muhammad Ikhwan Ramli untuk mengikut jejak Liek Hou-Fareez tidak kesampaian apabila tewas pada aksi final kategori WH1 dan WH2 kepada lawan dari China, Mai Jianpeng-Qu Zimo 10-21, 13-21 dalam masa 28 minit sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 8:18 PM