PEMAIN beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei ketika menentang pemain Brunei, Mattew Minggat-Mohamad Iqal Asyraf Mohahad, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
PEMAIN beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei ketika menentang pemain Brunei, Mattew Minggat-Mohamad Iqal Asyraf Mohahad, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Skuad badminton lelaki negara harus melupakan status sebagai juara bertahan dan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila mereka bertemu Taiwan pada aksi terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) esok.

Jika mengharapkan undian lebih mudah untuk saingan kalah mati, pemain badminton lelaki negara harus mengakhiri saingan Kumpulan B dengan mencatat kemenangan ketika berdepan pasukan ranking kesembilan dunia itu.

Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang menganggap kedua-dua pasukan tidak akan memandang rendah aksi terakhir peringkat kumpulan itu.

"Sebenarnya semua orang terutama pemain memberi tumpuan kepada aksi terakhir ini, begitu juga dengan Taiwan. Dari sudut pasukan mereka, ia sama seperti kita (ternanti-nanti aksi terakhir peringkat kumpulan)," kata legenda beregu lelaki Indonesia itu.

Ujarnya, bagi aksi menentang Taiwan, mereka bukan sahaja harus mempersiapkan diri dari segi teknik tetapi perlu fokus kepada kekuatan mental.

"Bagi aksi ini kami bukan sahaja perlu mempersiapkan diri dari segi teknik untuk berdepan dengan mereka tetapi terarah bagaimana kami menguruskan diri mental pemain bagi sentiasa dahagakan kemenangan di dalam gelanggang.

"Jadi kami akan duduk bersama dan sentiasa meningkat motivasi pemain menjelang perlawanan berkenaan," kata Rexy.

Ditanya mengenai perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, beliau mengakui mereka daripada barisan kejurulatihan sentiasa memantau tahap kecergasan pemain itu yang sebelum ini dibelenggu masalah kecederaan belakang.

"Buat masa sekarang kita sudah melihat dia beraksi menentang Brunei (semalam), jadi kita akan duduk berbincang lagi dalam masa sama mempersiapkan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe. Jika kita terlalu menekannya bimbang mendatangkan risiko pada kecederaannya.

"Kita juga harus melihat kejohanan selepas ini yang juga penting buat Tze Yong dalam mengumpul mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 12:21 PM