TZE YONG memuat naik gambarnya menerima rawatan di salah sebuah hospital. -FOTO Facebook
TZE YONG memuat naik gambarnya menerima rawatan di salah sebuah hospital. -FOTO Facebook
Ferzalfie Fauzi


Shah Alam: Tiada pilihan buat skuad badminton lelaki negara dalam aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) menentang Jepun esok, mereka perlu menurunkan pemain yang sedia ada bagi menggalas cabaran dalam acara perseorangan.

Ia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga buat pasukan lelaki selepas kehilangan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong serentak sebelum aksi suku akhir sebentar tadi.

Kecederaan belakang kembali menghantui Tze Yong yang menyaksikan dia terpaksa menarik diri ketika set pertama menentang Jason Teh ketika Malaysia menewaskan Singapura 3-1 pada aksi suku akhir, hari ini.

Zii Jia sebelum itu sudah tidak dapat diturunkan kerana mengalami masalah resdung.

Situasi berkenaan menyaksikan skuad negara ketika ini hanya tinggal dua pemain perseorangan iaitu Leong Jun Hao dan Eogene Ewe.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, pihaknya akan menilai semua pilihan yang ada termasuk kemungkinan untuk menyenaraikan salah seorang pemain beregu bagi menggalas tugas dalam acara perseorangan.

"Situasi yang berlaku ini adalah di luar kawalan kami yang mana kita kehilangan dua pemain perseorangan. Pada akhirnya, kita perlu buat persiapan dengan pemain yang kita ada sekarang," katanya.

Ujarnya, mungkin pemain beregu akan disenaraikan bermain dalam acara perseorangan.

"Segala kemungkinan itu ada dan perkara ini akan bincang semula dengan barisan kejurulatihan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," kata Rexy.

Menurut legenda badminton Indonesia itu, pihaknya mempunyai masa sehingga jam 1 tengah hari esok sebelum memuktamadkan senarai pemain yang akan beraksi di separuh akhir.

"Setakat ini, saya tidak boleh pastikan sama ada Tze Yong atau Zii Jia boleh diturunkan. Macam Zii Jia, saya fikir pasukan dia lebih mengetahui keadaannya.

"Jadi, kita akan bincang semula nanti. Lagipun, kita tidak boleh nak paksa pemain untuk bermain sekiranya mereka betul-betul tidak boleh turun bermain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 9:48 PM