EOGENE mengisi slot pemain perseorangan keempat di BATC. FOTO BERNAMA
EOGENE mengisi slot pemain perseorangan keempat di BATC. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Terpilih berada dalam senarai pasukan negara untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam dari 13 hingga 18 Februari ini pasti akan memberi pengalaman yang cukup berharga buat pemain muda negara, Eogene Ewe.

Justeru Eogene yang kini berusia 19 tahun tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberi dan menjadi tanggungjawabnya untuk membalas kepercayaan yang diberi oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepadanya.

Malah dia yang baru beralih ke pasukan senior mengakui teruja untuk mengharungi ujian pertamanya di Cabaran Antarabangsa Sri Lanka yang bermula Isnin ini sebagai persiapan sebelum turun beraksi di BATC.

"Ini satu penghormatan bagi saya bila saya dipilih untuk mewakili negara dan memang saya amat berharap dapat bermain di BATC mungkin ketika berdepan Kazakhstan.

"Tapi saya tahu ia bukan satu tugas yang mudah terutama saya adalah pemain paling muda dalam skuad.

"Namun peluang yang diberikan oleh jurulatih tak akan saya persiakan mungkin kerana mereka mahu membentuk pemain muda dalam skuad negara," katanya.

Di BATC nanti Eogene akan mengisi slot perseorangan keempat dalam senarai pemain lelaki negara yang akan diperkuatkan oleh Lee Zii Jia, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao.

Begitupun dalam keadaan skuad yang tidak menentu apabila Tze Yong yang masih pulih daripada kecederaan belakang yang dialami ketika Terbuka Malaysia, awal bulan lalu dan Jun Hao yang sering dihantui dengan kecederaan, Eogene perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Jika dia perlu mengisi perseorangan ketiga, Eogene mungkin akan menentang pemain seperti bekas pemain nombor satu dunia K Srikanth dari India, Lei Lan Xi dari China, dan juara dunia remaja dunia, Alwi Farhan dari Indonesia.

Dia dijangka akan diturunkan dalam aksi peringkat kumpulan ketika berdepan Brunei dan Kazakhstan yang mana Malaysia turut diundi bersama Taiwan dalam Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 4:41 PM