IZZUDDIN harap dapat mengawal tekanan kerana bakal beraksi di laman sendiri. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
IZZUDDIN harap dapat mengawal tekanan kerana bakal beraksi di laman sendiri. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani mengharapkan pengalaman beraksi dua kali Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) sebelum ini dapat membantu memperkuatkan pasukan negara.

Dia kini sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental mengerah keringat untuk membawa Malaysia mara ke peringkat akhir BATC yang akan membuka tirai Selasa ini.

Akan bergandingan bersama Goh Sze Fei, Izzuddin berkata, dia akan berusaha memberi yang terbaik dan kini sudah mempersiapkan diri sepenuhnya untuk turun beraksi di Pusat Konvesyen Setia, Shah Alam nanti.

"Kami sudah mempersiapkan diri untuk mengibarkan cabaran sepenuhnya. Namun ada rasa sedikit tekanan sedikit kerana Malaysia menghantar pasukan pertama dan sebagai tuan rumah.

"Tapi kalau nak ikutkan bermain dalam acara individu pun tekanan tetap ada. Saya harap tekanan itu dapat dikawal kerana kita beraksi di tempat sendiri.

"Apapun kami tetap kena persiapkan diri dan sasaran adalah ke final," katanya yang meraih tempat ketiga di Terbuka Denmark 2021.

Saingan BATC kali ini menyaksikan Malaysia di undi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir sekali gus menempah tiket automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, pada Mei ini.

Skuad negara menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki iaitu iaitu Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Kok Jing Hong.

Cabaran acara beregu, Malaysia turut menyenaraikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Pada edisi 2020 di Filipina, Malaysia berjaya mara ke pentas final sebelum tewas di tangan Indonesia 1-3 dan berada di tempat ketiga pada edisi 2018 di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 9:28 PM