Rexy Mainaky (kanan) memberi arahan kepada pemain badminton negara.
Rexy Mainaky (kanan) memberi arahan kepada pemain badminton negara.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Barisan pemain badminton negara tidak diberikan cuti yang lama sempena perayaan Tahun Baharu Cina kerana ada tugas yang perlu dilaksanakan.

Kesemua pemain hanya diberikan rehat dua hari sebelum perlu kembali ke gelanggang pada 3 Februari dalam misi mengejar kejuaraan di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022.

Ini kerana Pengarah Kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky menaruh kepercayaan yang tinggi dan yakin skuad badminton negara mampu meraih pencapaian yang lebih baik di BATC berbanding pingat perak pada edisi 2020 di Filipina.

Justeru adalah penting buat pemain kembali bersedia dari sebarang aspek dan melupakan dahulu cuti rehat yang panjang.

Bagi Rexy, ini adalah masa buat barisan pemain negara membuktikan tahap kemampuan masing-masing dan peluang untuk mereka muncul juara selepas China mengesahkan tidak mengambil bahagian.

Manakala Jepun juga dijangka akan menurunkan barisan kedua.

"Daripada penilaian saya, melihat dari senarai pasukan Indonesia, ada pemain muda tapi berpengalaman bermain dalam acara berpasukan.

"Sama juga dengan skuad India. Tapi sekiranya kesemua pasukan ini tidak turun dengan pasukan terbaik, kita ada peluang pergi lebih jauh dan jadi juara," katanya.

Skuad lelaki disertai juara Seluruh England 2021, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong bagi senarai perseorangan negara.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai gandingan senegara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki pada edisi yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dari 15 hingga 20 Februari ini.

Untuk pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul manakala beregu diwakili Pearly Tan-M Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Untuk rekod, pada edisi 2020 di Manila, Malaysia tewas 1-3 di tangan Indonesia di pentas final berpasukan lelaki manakala pasukan wanita negara menamatkan kempen dengan berkongsi gangsa bersama Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 3:02 PM