TZE YONG dijangka tidak berdepan masalah untuk beraksi di BATC. -FOTO NSTP
TZE YONG dijangka tidak berdepan masalah untuk beraksi di BATC. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Peluang peminat badminton negara untuk menyaksikan semula kemunculan pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) minggu depan bakal termakbul apabila tahap kecederaan belakang dialaminya di Terbuka Malaysia awal Januari lalu sudah semakin pulih.

Menurut Tze Yong, proses latihannya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada ketika ini berjalan dengan baik dan dua perlawanan awal menentang Brunei dan Kazakhstan bakal menjadi medan pemanas badan untuk dirinya.

"Saya rasa sudah pulih dalam 70 ke 80 peratus. Saya sudah menyertai latihan penuh tetapi mungkin perlu ambil masa lagi," katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan di ABM, hari ini.

Ujar Tze Yong, dia sudah tidak berasa sakit di bahagian belakang namun belum 100 peratus cergas sepenuhnya.

"Ketika main (latihan), belum lagi dapat rasa (tahap cergas) seperti sebelum ini, memang ada beza. Doktor pun tidak ada memaklumkan (jangka masa pulih sepenuhnya), jadi ia memerlukan sedikit masa," katanya.

Malaysia yang juga juara bertahan kategori berpasukan lelaki BATC edisi lalu itu diundi bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei dalam Kumpulan B dan bakal membuka tirai saingan bertemu Brunei pada 13 Februari ini.

Ditanya mengenai tahap kesediaannya sekiranya diturunkan pada saingan awal BATC minggu depan, Tze Yong berkata, dia sudah bersedia untuk membantu pasukan negara.

"Rasa minggu depan (BATC) tidak begitu sukar. Lawan Kazakhstan (di perlawanan kedua kumpulan), jadi saya boleh menyesuaikan diri dan lihat sama ada saya boleh 100 peratus ataupun tidak," katanya biarpun sedar laluan mempertahankan gelaran kali ini bukan mudah.

"Dua tahun lalu, mungkin banyak pasukan yang tak menghantar pasukan terkuat mereka. Tapi kali ini banyak yang hantar, namun saya rasa kami boleh memberikan saingan," kata Tze Yong.

Cabaran perseorangan akan diketuai Lee Zii Jia selain Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe manakala beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 12:37 PM