Daiyan Trisha
Daiyan Trisha
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha kini menamatkan kontrak dengan beberapa jenama yang berkaitan dengan pro-Israel.

Daiyan, 31, berkata, dia memandang serius isu kemanusiaan yang berlaku dan tindakan ini adalah caranya untuk terus berpegang dengan pendiriannya.

"Saya nak maklumkan, yang saya dah tamatkan kontrak dengan beberapa jenama yang saya bekerjasama. Saya terima segala teguran dan saya memandang isu ini sebagai sesuatu yang serius.

"Ini adalah cara saya bertindak dan tunjukkan pendirian berterusan saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon drama bersiri W: Two Worlds itu lagi, dia juga membuat keputusan itu atas kehendaknya sendiri.

"Ini adalah keputusan saya sendiri dan perjuangan saya sendiri demi Palestin. Saya harap, kita semua akan terus berjuang untuk saudara-saudara kita di sana," katanya.

Terdahulu, namanya terpalit dalam gerakan Blockout 2024 membabitkan selebriti tempatan yang dilihat tidak bersuara untuk Palestin.

Daiyan juga antara individu yang menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada empat organisasi bukan kerajaan (NGO) berkaitan Palestin iaitu Mercy Malaysia (RM25,000), Global peace mission (RM25,000), Cinta Gaza (RM25,000) dan Viva Palestina (RM25,000).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 6:28 PM