SPRM
SPRM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat dan seorang lelaki, kerana disyaki membuat tuntutan mengandungi butiran palsu bernilai kira-kira RM77,000.

Menurut sumber tuntutan dibuat bagi kerja-kerja pembekalan kepada sebuah institusi pendidikan di Selangor walaupun projek itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Kedua-dua mereka yang berumur dalam lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 6 petang semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

"Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu tahun lepas, dengan masing-masing mengemukakan dua tuntutan bayaran dari dua syarikat berbeza bernilai kira-kira RM36,000 dan RM41,000. Ia tuntutan bagi pembekalan makan minum, dobi serta bahan latihan dan juga promosi, tetapi kesemuanya tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman lima hari bermula hari ini selepas Majistret Farah Rosnan membenarkan permohonan reman yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.

Sementara itu Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 7:31 PM