GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahani Ishak


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan 'perang' ke atas gula dalam masa terdekat, sebagai usaha mengurangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif itu akan dilaksana menerusi pendekatan penggredan minuman yang mengikut kandungan gula.

Katanya, ia mengambil contoh negara jiran, Singapura yang mengkelaskan kandungan gula dalam minuman mengikut Kategori A, B, C dan D.

"Seterusnya kempen advokasi mengurangkan pengambilan gula secara besar-besaran akan dilaksanakan melalui inisiatif yang sudah berlangsung, antaranya pendekatan fiskal iaitu pengenaan cukai eksais kepada minuman bergula dan minuman pra-campuran yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KKM hari ini.

Terdahulu, hasil penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang hari ini mendedahkan, kira-kira setengah juta atau 2.5 peratus individu dewasa menghidap empat penyakit NCD termasuk obesiti dan kencing manis.

Untuk itu, Dzulkefly berkata, pendekatan segera perlu dilakukan bagi mengurangkan pengambilan gula berlebihan walaupun terdapat laporan yang menunjukkan terdapat penurunan penyakit NCD seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia sejak 2019.

Dr Dzulkefly bagaimanapun berkata, data NHMS 2023 menunjukkan satu daripada dua rakyat Malaysia obesiti dan berlebihan berat badan, dengan individu mempunyai berat badan berlebihan berisiko menghidap Diabetes Jenis Dua dan lebih berisiko tinggi menghidap kanser dan penyakit yang dikaitkan dengan pengumpulan sel lemak di hati.

"Justeru, perang terhadap gula selari dengan usaha mengurangkan diabetes dan penyakit NCD lain," katanya yang tidak memberikan tempoh spesifik untuk pelaksanaan penggredan minuman.

Untuk rekod, Singapura menetapkan label pemakanan wajib dikenali 'Nutri-Grade' yang mengkelaskan minuman kepada empat gred berbeza warna dengan A (hijau tua), B (hijau muda), C (jingga) dan D (merah), aberdasarkan kandungan gula dan lemak tepu.

Gred A menunjukkan minuman itu mengandungi gula dan lemak tepu paling rendah, manakala gred D (merah) sebaliknya.

Pada masa ini, duti eksais 40 sen dikenakan bagi setiap liter minuman manis yang mengandungi lebih daripada lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi setiap 100 milimeter (ml), bermula 1 Julai 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 6:46 PM