BERNAMA

Astana: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi dua hari beliau ke Kazakhstan dengan mengunjungi Masjid Besar Astana yang terletak di sepanjang Laluan Sutera di sini hari ini.

Anwar tiba di masjid itu pada 2.20 petang waktu tempatan (5.20 petang waktu Malaysia) dan disambut mesra oleh Datuk Bandar Astana Zhenis Kassymbek.

Turut menyambut kehadiran beliau ialah Mufti Besar masjid itu Nauryzbai Taganuly Optenov, yang juga Pengerusi Pentadbiran Kerohanian Muslim Kazakhstan (MUFTYAT).

Sepanjang kunjungan selama 20 minit itu, Perdana Menteri turut menunaikan solat dan mendengar taklimat Kassymbek mengenai pembinaan masjid berkenaan yang siap pada 2022 serta boleh memuatkan kira-kira 235,000 orang.

Kunjungan Anwar ke masjid itu disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar serta Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah.

Nursultan Nazarbayev, pemerintah Kazakhstan sejak ia merdeka pada 1991, turut mengambil bahagian dalam upacara peletakan batu asas masjid itu pada Mac 2019.

Masjid itu, yang direka oleh Dewan Architects & Engineers, menampilkan kubah utama berwarna biru terbesar di dunia dengan ketinggian hampir 83.2 dengan diameter 62 meter.

Selain itu, empat menara di sekelilingnya, masing-masing mencecah ketinggian 130 meter, dibina dalam lima bahagian berasingan yang mewakili lima Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat fardu lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat serta mengerjakan ibadah haji bagi yang mampu.

Kazakhstan, negara kesembilan terbesar di dunia, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 20 juta orang dan lebih 70 peratus daripadanya beragama Islam.

Lawatan Anwar ke Kazakhstan menandakan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dengan negara itu yang terjalin sejak 16 Mac 1992, merangkumi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan, industri halal dan lain-lain untuk manfaat bersama.

Selepas ini, Perdana Menteri akan menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Ak Orda) sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala untuk perbincangan yang lebih meluas membabitkan delegasi masing-masing.

Satu Kenyataan Bersama akan ditandatangani susulan mesyuarat itu sebelum Anwar dan delegasi Malaysia diraikan dengan majlis makan malam yang dihoskan oleh Tokayev.

Sebelum mengakhiri lawatannya esok, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat mengenai kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Kazakhstan di sini.

Perdana Menteri Kazakhstan Olzhas Bektenov turut dijadual menghadiri sesi itu yang bertujuan memupuk kerjasama serta perkongsian antara syarikat kedua-dua negara dalam sektor ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Anwar juga dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan agensi kerajaan dan perniagaan berkaitan daripada kedua-dua pihak.

Nilai dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 ialah RM474.5 juta (US$104.2 juta), dengan RM465.6 juta (US$102.2 juta) merupakan eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan dan RM8.9 juta (US$1.9 juta) ialah nilai import dari Kazakhstan.

Anwar sebelum ini telah mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz.

Selepas Kazakhstan, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan rasmi ke Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 8:01 PM