HANNAH ketika sidang media pengumuman senarai atlet 'Road To Gold' (RTG) di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.  FOTO Bernama
HANNAH ketika sidang media pengumuman senarai atlet 'Road To Gold' (RTG) di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Kontinjen negara tetap akan menyertai dan tidak akan memboikot temasya Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan yang diputuskan jawatankuasa Road To Gold (RTG) itu selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang tidak mahu membawa politik ke dalam sukan.

Tambah Hannah, jika kontinjen negara berjaya meraih pingat emas di temasya itu, ia bukan satu isu kerana kelemahan penganjuran atau penarikan diri negara lain daripada temasya itu.

"Saya tidak boleh komen berkenaan negara lain. Tetapi seperti yang saya cakap sebelum ini kita masih kekal dengan keputusan dibuat RTG.

"Apabila kita menghantar atlet, mereka akan memberi yang terbaik kerana mereka layak untuk memenangi pingat mereka," katanya.

Sebelum ini media antarabangsa melaporkan kira-kira 40 negara akan memboikot temasya itu sekiranya Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan atlet Russia dan Belarus bertanding.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah menjadi antara 65 negara memboikot Olimpik Moscow 1980 ketika Perang Dingin.

Sementara itu, Hannah mengakui akan bertemu pemain badminton nombor empat dunia, Lee Zii Jia esok berhubung penyenaraian nama pemain profesional itu ke dalam RTG.

Bagaimanpun katanya, Penyelaras Program RTG, Stuart Ramalingam dan tiga bekas atlet yang berada dalam jawatankuasa tersebut, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi tetap perlu mengadakan pertemuan dengan setiap atlet yang disenaraikan, bagi mendapatkan persetujuan.

"Atlet dan jurulatihnya perlu bersetuju dan menandatangani perjanjian. Selepas mereka bertemu dan mendengar keperluan atlet, akan ada perjanjian kerana kita mahukan komitmen atlet.

"Kita tidak mahu selepas bagi apa yang mereka minta tetapi tiada komitmen dan projek ini tidak akan berjaya," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 5:12 PM