ZII JIA tamatkan kemarau gelaran apabila muncul juara Terbuka Arctic. -FOTO NSTP
ZII JIA tamatkan kemarau gelaran apabila muncul juara Terbuka Arctic. -FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia berjaya menamatkan 'badi' kejuaraan selepas menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong di final Terbuka Arctic, hari ini.

Zii Jia yang turun bagai harimau lapar ternyata tidak membiarkan lawannya untuk menyerang sebaliknya dirinya terus bermain pantas.

Dirinya juga sering mengumpan lawannya sebelum mematikannya dengan pukulan deras dan sukar untuk Tze Yong kembalikan semula selain tidak membenarkan permainan rali kerana sedar keupayaannya.

Di set pertama, permainan Zii Jia lebih agresif untuk mencatat kemenangan mudah 21-14.

Permainan Tze Yong seperti tidak menjadi apabila dilihat sukar untuk bermain dan banyak memberi peluang dan mata mudah buat Zii Jia.

Tidak mahu membiarkan lawannya mendapatkan rentak di set kedua, anak didik Wong Tat Meng itu terus mengamalkan permainan menyerang dan akan mematikan bulu tangkis secepat mungkin sehingga memberi kesukaran buat pemain muda negara itu dan terpaksa akur tewas 21-15.

Kemenangan ini membolehkan pemain berusia 25 tahun ini menamatkan 'kemarau' ' kejuaraan selepas kali terakhir muncul juara adalah di Terbuka Thailand pada bulan Mei menewaskan wakil China, Li Shi Feng.

Sementara itu kejayaan Zii Jia gagal diteruskan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang terpaksa menamatkan saingan sebagai naib juara selepas tewas pada final.

Pasangan negara itu gagal mengatasi pilihan keempat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen apabila tewas 21-18, 21-17.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 8:09 PM