ZII Jia teruskan kemaraan. FOTO Badminton Photo
ZII Jia teruskan kemaraan. FOTO Badminton Photo
Helmi Talkah


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mencetus kebangkitan sensasi apabila menyingkirkan juara Seluruh England dari China, Li Shi Feng, semalam bagi mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Switzerland.

Walaupun tewas set pertama 18-21, Zii Jia membuktikan tahap keyakinannya kini semakin 'pulih' apabila berjaya bangkit dengan kemenangan 21-18 di set kedua sekali gus mengheret permainan ke set penentuan pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di St Jackobshalle di Basel itu.

Set ketiga menyaksikan persaingan sengit antara kedua-dua pemain apabila saling mengejar mata namun tuah memihak kepada Zii Jia yang menyaksikan dia mencatat kemenangan 23-21 untuk melangkah ke kelompok 16 terbaik.

Zii Jia dijadual bertemu pemain Ireland, Nhat Nguyen bagi perebutan tiket ke suku akhir, malam ini.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong berdepan detik cemas sebelum berjaya 'menghantar pulang' rakan senegara, Soong Joo Ven untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua.

Pada aksi pusingan pertama, Tze Yong diberi tentangan sengit oleh Joo Ven yang berjaya mengheret permainan hingga set penentuan.

Tze Yong tewas 23-25 di set pertama sebelum bangkit memenangi set kedua 21-17 dan dinobatkan sebagai pemenang selepas Joo Ven terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 4-13 di set ketiga susulan masalah kecederaan.

Kemenangan itu membolehkan Tze Yong menempah pertemuan dengan seorang lagi pemain negara, Cheam June Wei yang melangkah ke pusingan kedua menerusi kemenangan ke atas 'jurulatih Lee Zii Jia', Liew Daren 21-14, 21-13.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 11:32 AM