WEI Chong dan Kai Wun mara ke final terbuka Arctic. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
WEI Chong dan Kai Wun mara ke final terbuka Arctic. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terpaksa bertarung tiga set sebelum mengesahkan tempat ke final selepas menundukkan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 19-21, 21-19, 21-19 di separuh akhir Terbuka Arctic, Finland, awal pagi tadi.

Bukan satu perlawanan mudah buat beregu muda negara itu apabila dipaksa bekerja keras lebih sejam namun ia usaha yang berbaloi buat mereka.

Wei Chong-Kai Mun tewas set pertama tetapi berjaya bangkit dua set seterusnya dalam perlawanan penuh debaran apabila kedudukan mata sering rapat namun pasangan negara lebih dominan untuk memenangi perlawanan itu.

Mereka bakal bertemu satu lagi wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang juga pilihan ketujuh kejohanan.

Namun, jika dilihat rekod pertemuan sebelum ini, Wei Chong dan Kai Mun mempunyai peluang untuk muncul juara.

Terdahulu, Ng Tze Yong pemain pertama negara menempah slot ke final selepas menang mudah 21-12, 21-16 ke atas Kanta Tsuneyama dari Jepun.

Tze Yong akan bertemu rakan senegara, Lee Zii Jia yang menewaskan wakil Denmark, Anders Antonsen 21-17, 13-8 selepas lawannya itu menarik diri akibat kecederaan pada satu lagi aksi separuh akhir.

Beregu campuran negara, Cheng Tan Jie-Toh Ee Wei yang turun terlebih dahulu terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada lawan dari China, Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin dalam pertarungan tiga set, 21-17, 13-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 8:20 AM