ZII Jia sebelum ini tersingkir di pusingan awal lima kejohanan berturut-turut. FOTO Ihsan Badminton Photo
ZII Jia sebelum ini tersingkir di pusingan awal lima kejohanan berturut-turut. FOTO Ihsan Badminton Photo
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat pemain profesional perseorangan negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan di Terbuka Australia nampaknya tidak kesampaian.

Ia selepas pemain yang menduduki ranking ke-17 dunia itu ditunjuk jalan keluar oleh pemain China, Weng Hong Yang 19-21, 21-13, 13-21 pada perlawanan yang berlangsung selama 1 jam 21 minit itu.

Namun Zii Jia yang menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong di suku akhir semalam, dilihat bekerja keras untuk menewaskan lawannya yang menduduki ranking ke-24 dunia itu.

Tewas pada set pertama, Zii Jia yang muncul satu-satunya wakil tunggal negara di separuh akhir, kembali memperkemaskan rentak permainannya di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Namun lawannya nampak lebih tenang apabila pada satu ketika jauh meninggalkannya sebelum mengesahkan kemenangan mutlak.

Ia juga menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua mereka memihak 2-1 kepada lawannya itu dengan kali terakhir Zii Jia menewaskannya pada Kejohanan Badminton Asia tahun lalu.

Namun kejayaan mara ke separuh akhir sekurang-kurangnya menunjukkan kebangkitan semula pemain perseorangan nombor satu negara itu selepas lima kejohanan berturut-turut tersingkir di pusingan awal.

Zii Jia yang kini dibimbing oleh Wong Tat Meng, akan mengalihkan fokusnya kepada Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung di Copenhagen, Denmark bermula 21 sehingga 27 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 4:37 PM