PERMAINAN Tze Yong semakin meningkat dalam setiap kejohanan.
PERMAINAN Tze Yong semakin meningkat dalam setiap kejohanan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara Tey Seu Bock melihat pengalaman menjadi punca anak didiknya Ng Tze Yong tewas kepada rakan senegara Lee Zii Jia pada peringkat suku akhir Terbuka Australia, sebentar tadi.

Namun Seu Bock berkata, corak permainan ditampil pemain di ranking 21 dunia itu semakin meningkat sekali gus bakal menjadi pencabar utama kepada Zii Jia kelak.

"Perlawanan sangat baik dan pujian harus diberikan kepada kedua-dua pemain. Perbezaan antara keduanya ialah Zii Jia mempunyai kelebihan dalam pengalaman dan keberanian untuk mendapatkan mata penting.

"Kami akan terus berusaha untuk menambah baik aspek permainan Tze Yong ini," katanya.

Terdahulu Zii Jia hampir dimalukan Tze Yong sebelum dia bangkit untuk mencatatkan kemenangan dalam aksi suku akhir Terbuka Australia.

Walaupun mencatatkan kemenangan terhadap 'adiknya' itu namun Zii Jia terpaksa berhempas pulas untuk mengesahkan slot ke separuh akhir menerusi 17-21,26-24,21-19 dalam tempoh satu jam 33 minit.

Tze Yong mempamerkan aksi bertenaga pada set pertama untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pemain terbabit.

Namun, pengalaman dimiliki Zii Jia jelas memberi kelebihan kepadanya apabila bangkit pada set kedua dan penentuan untuk mengesahkan slot empat pemain terbaik di Terbuka Australia.

Malah, kejayaan pemain yang berada di ranking 17 dunia itu juga akhirnya menamatkan badi lima kali tewas berturut-turut pada pusingan pertama apabila kali ini berjaya meloloskan diri ke peringkat separuh akhir.

Namun, Zii Jia seharusnya berwaspada kerana pertembungan kali pertama dengan Tze Yong di kejohanan antarabangsa itu membuktikan jurang antara kedua-dua pemain terbabit sebenarnya tidak banyak beza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 5:37 PM