AARON (kanan) bersama Wooi Yik perlu melepasi halangan Ee Yi dan Yew Sin untuk melangkah ke separuh akhir Terbuka China. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kanan) bersama Wooi Yik perlu melepasi halangan Ee Yi dan Yew Sin untuk melangkah ke separuh akhir Terbuka China. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya Malaysia akan mempunyai wakil beregu lelaki ke separuh akhir Terbuka China apabila berlaku pertembungan sesama sendiri antara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di suku akhir, esok.

Kedua-dua pasangan negara itu menumpaskan lawan masing-masing di pusingan kedua dengan Aaron-Wooi Yik menumpaskan wakil China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong dengan 21-16, 21-17.

Yew Sin-Ee Yi pula mengalahkan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 21-12, 21-17.

Ia bakal menyaksikan pertembungan kali ketujuh buat dua beregu negara itu dengan rekod sebelum ini memihak kepada Aaron-Wooi Yik, 4-2, tatkala tahun ini mereka hanya berdepan sesama sendiri sekali di suku akhir Terbuka India.

Bagaimanapun, aksi berkenaan memihak kepada Aaron-Wooi Yik selepas mencatat kemenangan 21-17, 21-11.

Berbeza dengan saingan beregu wanita apabila dua wakil negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien ditunjukkan jalan keluar selepas kalah dengan lawan masing-masing.

Anna-Mei Xing tumpas kepada pasangan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto 11-21, 18-21, manakala Vivian-Chiew Sien tumbang kepada pilihan kedua dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Ha 17-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 9:30 PM