REXY berharap Aaron (kiri) dan Wooi Yik dapat melangkah sejauh mungkin berbekalkan status juara dunia. FOTO ARKIB NSTP
REXY berharap Aaron (kiri) dan Wooi Yik dapat melangkah sejauh mungkin berbekalkan status juara dunia. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky tidak mahu wakil negara daripada badan induk itu tersingkir awal pada Final Jelajah Dunia di Bangkok dari 7 hingga 11 Disember depan.

Tegas Rexy, memandangkan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah masing-masing pernah mengecapi status juara dunia dan juara Terbuka Perancis, kedua-dua gandingan negara itu diharap mampu melangkah lebih jauh pada saingan kali ini.

"Kalau ikut sasaran realistik, saya tidak mahu mereka tersingkir awal. Kalau boleh melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu dan kemudian kita mula lihat kebarangkalian untuk peluang seterusnya.

"Tetapi dengan status Aaron-Wooi Yik sebagai juara dunia, kita tidak boleh meletakkan sasaran sebegitu (melepasi peringkat kumpulan), kita harus menjadi juara.

"Sebab semua yang layak ke saingan itu pasti mahu menjadi juara juga. Begitu juga Pearly dan Thinaah, selepas mereka muncul juara Terbuka Perancis, saya lihat jika mereka persembahkan gaya permainan sama seperti di Perancis, tidak mustahil mereka mampu menjadi juara," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan, hari ini.

Selain dua beregu negara itu, Malaysia turut diwakili empat pasangan profesional iaitu beregu campuran, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Shevon Lai-Goh Soon Huat, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) dan Lim Chiew Sien-Vivian Hoo (beregu wanita).

Tahun lalu, kempen Pearly-Thinaah terhenti di peringkat kumpulan manakala Aaron-Wooi Yik tidak layak untuk beraksi di kejohanan yang ketika itu berlangsung di Bali, Indonesia.

Barisan pemain negara hanya akan mengetahui lawan masing-masing selepas berlangsungnya proses undian pada 5 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 6:41 PM