JOO Ven bersama trofi dan replika hadiah diraihnya pada perlawanan akhir di Ipoh, semalam. FOTO BERNAMA
JOO Ven bersama trofi dan replika hadiah diraihnya pada perlawanan akhir di Ipoh, semalam. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas aksi kurang konsisten sebelum ini, perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven mengharapkan kejayaan muncul juara kebangsaan semalam mampu meningkatkan tahap keyakinannya untuk mengharungi kejohanan akan datang.

Menurut pemain dari Kuala Lumpur itu, kejayaan itu bukan hanya disebabkan usahanya bersendirian tetapi hasil kerjasama sepasukan terutama bahagian perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Memang ketua jurulatih adalah Datuk Misbun Sidek namun Indra Wijaya dan Hendrawan juga banyak membantu saya menjadi seorang pemain matang dan mempertingkatkan mutu permainan,” katanya selepas menumpaskan Leong Jun Hao pada perlawanan akhir di Ipoh, semalam.

Joo Ven terpilih dalam skuad ke Kejohanan Berpasukan Campuran Asia bulan depan mengakui sepanjang kejohanan dia tidak memikirkan apa-apa, selain memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada saya dan memang saya berasa bangga dengan kejuaraan ini. Selepas ini tumpuan saya adalah Terbuka Jerman (26 Februari-3 Mac),” kata pemain berusia 24 tahun dan menduduki ranking ke-81 dunia itu.

Joo Ven mendapat kemenangan mudah selepas Jun Hao menarik diri ketika ketinggalan 1-7 pada set kedua kerana dibelenggu kecederaan kaki terseliuh ketika aksi separuh akhir kelmarin.

Set pertama menyaksikan Joo Ven yang juga pilihan ketiga bermula dengan meyakinkan apabila menang 21-13.

Bagi acara beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi muncul juara selepas mengalahkan Aaron Chia Soh Wooi Yik 21-12, 21-19.

Hasrat perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk merampas gelaran juara kebangsaan tidak kesampaian apabila kalah kepada pemain lebih senior, Soniia Cheah 10-21, 14-21.

Bagi beregu wanita pula, pilihan ketiga, Anna Cheong-Lim Chiew Sien tidak berdepan masalah muncul juara selepas mengalahkan Cheah Yee See-Teoh Mei Xing 23-21, 21-17.

Pasangan profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying muncul juara beregu campuran selepas mengalahkan Hoo Pang Ron-Shevon Lai 17-21, 21-13, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 7:54 AM