KISONA kejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Saina dari India. -FOTO Ihsan BAM
KISONA kejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Saina dari India. -FOTO Ihsan BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona mencatat keputusan paling cemerlang dalam kariernya selepas mengejutkan bekas pemain nombor satu dunia, Saina Nehwal dari India untuk mara ke suku akhir Terbuka Switzerland pagi tadi.

Dia yang menduduki ranking ke-64 dunia berjaya bangkit dari kekalahan set pertama untuk menang 17-21, 21-13, 21-13 sekali gus mara ke suku akhir jelajah dunia pertamanya sejak di Masters Orleans 2018.

Kejayaan itu sedikit sebanyak dapat meredakan tekanan buat pemain kelahiran Negeri Sembilan itu yang mengalami penurunan prestasi sejak meraih emas di Sukan Sea 2019.

Kisona akan berdepan wakil Thailand, Supanida Katethong bagi memburu slot ke separuh akhir.

Turut mara ke suku akhir pagi tadi ialah tiga pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi and Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Aaron-Wooi Yik mudah menundukkan pasangan India Bokka Navaneeth-B Sumeeth Reddy 21-15, 21-14, manakala Yew Sin-Ee Yi mengatasi Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland 21-16, 21-12.

Juara Terbuka Jerman Sze Fei-Izzuddin pula menang 23-21, 21-18 ke atas gandingan Denmark, Jeppe Bay-Lasse Molhede.

Beregu wanita, Lim Chiew Sien-Vivian Hoo dan Anna Cheong-Teoh Mei Xing juga menempah slot ke suku akhir.

Chiew Sien-Vivian menumpaskan pasangan senegara Low Yeen Yuan-Valeree Siow 21-14, 21-12, manakala Anna-Mei Xing mengetepikan cabaran wakil Belanda, Cheryl Seinen-Debora Jille 21-15, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 2:33 PM