HAFIZ kini menjadi jurulatih kepada bintang badminton India, Sindhu. -FOTO Facebook Sindhu
HAFIZ kini menjadi jurulatih kepada bintang badminton India, Sindhu. -FOTO Facebook Sindhu
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bintang badminton India, P V Sindhu, mengumumkan bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Muhammad Hafiz Hashim sebagai jurulatih baharunya dalam usaha memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkembangan itu diumumkan Sindhu yang juga pemenang dua pingat Sukan Olimpik menerusi laman media sosial miliknya sambil memberitahu bekas juara seluruh England itu memenuhi semua kriteria yang diperlukan untuk bergelar jurulatihnya.

"Selepas proses yang panjang dan berlarutan, saya gembira mengumumkan Hafiz sebagai jurulatih saya.

"Dia memiliki semua kriteria yang saya cari sebagai jurulatih termasuk ketinggian, kelajuan, dan naluri menyerang.

"Sebagai bekas juara Seluruh England 2003, dia juga mempunyai rekod pencapaian yang baik. Dia juga pernah berlatih di bawah bimbingan Sidek (Datuk Misbun Sidek) yang menambahkan lagi aura pada dirinya," katanya.

Untuk rekod, Hafiz sebelum ini sudah pun melatih Sindhu secara sambilan di Akademi Badminton Sucithra.

Dengan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 sudah bermula, Sindhu mahukan khidmat Hafiz secara sepenuh masa dan dia memohon kelulusan daripada Pihak Berkuasa Sukan India (SAI) untuk berlatih di bawah bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

Tugasan pertama Hafiz bersama Sindhu adalah saingan Terbuka Korea yang bermula semalam yang menyaksikan pemain itu berdepan Pai Yu-po dari Taiwan di pusingan pertama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 1:55 PM