CHONG Wei anggap Tze Yong mempunyai potensi besar. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
CHONG Wei anggap Tze Yong mempunyai potensi besar. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Baki tiga bulan bagi tahun 2022 ini amat penting buat pemain badminton, bagi memperbetul segala kelemahan serta meningkatkan prestasi.

Begitupun, semua pemain terutamanya yang berada dalam radar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris, hendaklah mengelak dari belenggu kecederaan.

Pemain perseorangan lelaki utama kebangsaan, Ng Tze Yong pastinya satu watak utama yang diharapkan badan induk badminton dunia itu.

Perkara itu diakui legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang menganggap bakat muda negara itu ada potensi besar.

"Paling utama sekarang, kita perlu pastikan sekurang-kurangnya dua pemain layak ke Sukan Olimpik.

"(Lee) Zii Jia sudah pasti akan layak ke sana berdasarkan ranking sekarang, dia berada di nombor empat dunia. Pemain dalam kelompok 16 terbaik dunia akan layak, tidak kira seorang atau dua yang berada dalam kelompok itu," katanya.

Ketika ditanya mengenai aspek yang perlu diberi perhatian Tze Yong, Chong Wei berkata, pemain itu masih muda namun kekurangannya pada tahap kecergasan dan kekuatan.

"Tze Yong perlu tahu, tekanan di Sukan Olimpik ini berbeza jika dibandingkan dengan Kejohanan Dunia.

"Dia mendapat wild card ke Kejohanan Dunia selepas meraih pingat perak di Sukan Komanwel.

"Tapi kejayaan merangkul pingat perak di temasya Komanwel Birmingham yang lalu bukan kayu pengukur kemampuan Tze Yong dan ia baru satu permulaan buat pemain muda negara itu yang kini berusia 22 tahun itu," katanya.

Malah bukan hanya Tze Yong semua pemain perlu berusaha keras lagi untuk menyaksikan adanya pemain perseorangan lelaki bergelar juara dunia selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakukannya bulan lalu.

Chong Wei ketika ditemui bagaimanapun berkata, tugas lebih getir menanti pemain tahun depan apabila bermula 1 Mei kutipan mata ke Olimpik akan bermula.

"Untuk Tze Yong ini baru permulaan jangan gembira sangat. Dia tak boleh gembira dengan pingat perak dan memang dia ada datang berjumpa saya sebelum Kejohanan Dunia yang lalu.

"Saya ada beri tahu kepada dia. Dia kena ambil peluang, dia main bagus di Komanwel dia dapat peluang bermain di Kejohanan Dunia atas tiket wild card. Memang kita tahu dia tak boleh menang tapi dia dapat peluang untuk rasai situasi dan bagaimana nak tanganinya.

"Itu satu pengalaman dan sangat penting, wang pun tak dapat beli," katanya.

Chong Wei turut berhubung dengan jurulatih kebangsaan Hendrawan yang memaklumkan bahawa Tze Yong sudah mencuba yang terbaik ketika di Kejohanan Dunia yang lalu namun masih ada kekurangan yang perlu dia pertingkatkan dari segi tahap kecergasan dan kekuatan.

Justeru dia perlu menggunakan masa yang ada sebelum musim depan bermula kerana pemain kelahiran Johor Baharu itu perlu berada di kelompok 16 terbaik sekiranya mahu beraksi di temasya Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 3:10 PM