ZII Jia tewas seawal pusingan pertama. FOTO Badminton Photo
ZII Jia tewas seawal pusingan pertama. FOTO Badminton Photo
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Hasrat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Korea tidak kesampaian apabila tewas di pusingan pertama sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu, Zii jia turun sebagai pilihan kelapan kejohanan, tumpas 15-21, 21-18, 17-21 di tangan pemain nombor 14 dunia dari Hong Kong, Ng Ka Long Angus.

Keputusan itu menyaksikan Zii Jia tersingkir di pusingan pertama tiga kali berturut-turut selepas turut mengalami nasib sama pada Terbuka Indonesia dan Terbuka Singapura.

Untuk rekod, ini adalah kekalahan ketiga Zii Jia kepada Ka Long musim ini selepas turut tewas ketika beraksi pada Indonesia Masters serta Kejohanan Badminton Asia di Dubai.

Terbuka Korea adalah kejohanan pertama Zii Jia selepas dia mengumumkan mahu menggantung raket buat seketika bulan lalu sebaik sahaja tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia.

Turut tersingkir di pusingan pertama semalam adalah perseorangan lelaki kebangsaan, Leong Jun Hao selepas akur dengan kekalahan straight set 10-21, 14-21 kepada bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew.

Sementara itu, seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong memastikan tempat ke pusingan kedua selepas mudah menewaskan pemain India, Mithun Manjunath 21-11, 21-4 dalam tempoh 28 minit.

Tze Yong berpeluang untuk membalas dendam kekalahan rakan senegera, Zii Jia apabila dijadual bertemu Ka Long di pusingan kedua esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 4:15 PM