TZE Yong berentap di Terbuka Switzerland esok.
TZE Yong berentap di Terbuka Switzerland esok.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas mencipta sensasi di Seluruh England 2023 dengan mengalahkan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, Ng Tze Yong akan meneruskan aksi di Terbuka Switzerland dan berpeluang untuk bertemu kembali lawannya itu jika masing-masing berjaya mara sehingga ke separuh akhir.

Minggu lalu di kejohanan berkenaan, Tze Yong berjaya mara ke suku akhir selepas menumpaskan Axelsen 21-15, 9-21, 23-21 sekali gus membuatkan Axelsen tersentak dengan kekalahan berkenaan sehingga mengalirkan air mata.

"Berjaya mara ke suku akhir dalam penampilan sulung Seluruh England memang sukar dipercayai. Apa pun masih banyak lagi kerja keras perlu dilakukan dan perlu ada peningkatan," kata Tze Yong.

Dia yang menduduki ranking ke-28 dunia, bakal memulakan aksi di Terbuka Switzerland esok di pusingan pertama dengan menentang pemain dari peringkat kelayakan.

Berdasarkan undian, Tze Yong boleh berdepan rakan senegara yang juga pemain profesional, Soong Joo Ven jika bekas pemain kebangsaan itu berjaya melepasi dua halangan di peringkat kelayakan.

Jika berjaya melepasi pusingan pertama, dia sekali lagi akan berdepan rakan senegara sama ada Cheam June Wei atau Liew Daren.

Selepas itu undiannya menjadi semakin sukar dan berkemungkinan berdepan pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien Chen jika kedua-duanya berjaya mara ke suku akhir.

Seluruh England adalah pencapaian keduanya berjaya mara sehingga suku akhir, sebelum ini dia berjaya mencatat keputusan sama ketika di Masters Thailand.

Dia juga pernah terkandas dua kali di pusingan kedua tahun ini iaitu di Terbuka Malaysia dan Masters Indonesia, manakala pencapaian terburuknya ialah tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 3:41 PM