TZE Yong kini menduduki ranking ke-28 dunia. FOTO BADMINTON PHOTO
TZE Yong kini menduduki ranking ke-28 dunia. FOTO BADMINTON PHOTO
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock percaya Ng Tze Yong lebih tahu apa perlu dilakukannya untuk menembusi kelompok 10 pemain terbaik dunia.

Ewe Hock yang juga anggota Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM) berkata, secara keseluruhannya Tze Yong menunjukkan perkembangan positif dalam perjalanannya untuk berada dalam kelompok utama dunia.

"Saya percaya dia tahu yang dia perlu bekerja lebih keras untuk capai tahap tertinggi.

"Mental perlu kuat, sekarang dia dalam kelompok 30 terbaik dunia, dia perlu kerja kuat lagi untuk masuk dalam 10 terbaik.

"Apabila Lee Zii Jia keluar (dari Persatuan Badminton Malaysia), dia pikul tanggungjawab dan jurulatih kini lebih fokus kepada dirinya. Saya pasti dia sendiri tahu apa yang dia mahukan dan paling penting dia perlu sentiasa dahagakan kemenangan," katanya.

Pencapaian terbaik Tze Yong musim ini adalah mara ke suku akhir Masters Thailand, awal bulan lalu manakala kandas awal pada tiga kejohanan sebelum itu iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu dalam persiapan bagi membuat penampilan sulung di Seluruh England dari 14 hingga 19 Mac ini sebelum beraksi di Terbuka Switzerland dari 21 hingga 26 Mac.

Ewe Hock berkata, Tze Yong perlu memperbaiki sentuhan 'pembunuhnya' kerana ia antara kekurangan yang dapat dilihat dalam permainan pemain ranking ke-28 dunia itu.

"Kalau tengok sekarang, permainan dia lebih kepada rali, bukannya menyerang. Kalau dibandingkan dengan pemain utama dunia seperti Viktor Axelsen (Denmark), mereka kalau ada peluang pasti akan melakukan serangan dan mematikan bola (bulu tangkis).

"Perkara ini yang saya belum nampak lagi dalam permainan Tze Yong. Namun, kita perlu beri dia masa kerana baru satu atau dua tahun ini dia naik dan saya harap dia akan meningkatkan lagi permainan menyerangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 7:29 PM