TZE Yong mahu realisasi impian ke Olimpik Paris.
TZE Yong mahu realisasi impian ke Olimpik Paris.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas menyertai lebih 20 kejohanan tahun ini, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong berasakan tempoh sebulan untuk mempersiapkan diri bagi musim depan perlu digunakan sebaik mungkin jika ingin merealisasikan impian layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Tze Yong, tahun ini dia lebih banyak fokus menyertai kejohanan daripada melakukan latihan untuk tempoh panjang.

"Jika hendak disimpulkan pencapaian tahun ini ia agak baik buat saya, namun masih belum capai sasaran saya, mengesahkan tempat ke Olimpik. Tahun depan saya juga harus mengekalkan kedudukan ranking," katanya.

Ujar pemain yang menduduki ranking ke-14 dunia itu, walaupun sudah menamatkan saingan musim ini dengan perjuangan di Masters China berakhir semalam, dia berasakan tidak akan mendapat rehat yang panjang.

"Berehat sekejap, selepas itu lebih banyak masa untuk menyambung latihan. Latihan adalah sangat penting buat saya. Tahun ini saya banyak menyertai kejohanan dan tidak ada masa untuk berlatih.

"Kami mempunyai lima minggu untuk berlatih (sebelum memulakan musim baharu). Jadi pertama sekali fokus saya dalam latihan adalah berkaitan dengan kecergasan. Selepas itu memberi tumpuan kepada kejohanan pertama Terbuka Malaysia.

"Jadi saya harap bagi saingan Terbuka Malaysia, saya mampu untuk memperbaiki keputusan tahun ini di mana saya terkandas di pusingan kedua," kata pemain kelahiran Johor berusia 23 tahun itu.

Tambahnya, dari segi mental dia berasakan hanya latihan mampu mempertingkatkan keyakinannya setiap kali turun ke gelanggang.

"Jika lebih banyak melakukan latihan fizikal, secara tidak langsung kekuatan mental saya juga akan meningkat seiringan," kata Tze Yong.

Tze Yong terkandas di pusingan pertama Masters China selepas kalah kepada rakan senegara, Lee Zii Jia 15-21, 22-20, 21-17.

Dia yang memulakan musim ini denga kedudukan ke-28 dunia, berjaya melayakkan diri ke suku akhir sebanyak tujuh kali, dua kali mara ke separuh akhir dan sekali berasa nikmat naib juara di Terbuka Arctic.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 12:52 PM