REAKSI gembira Tze Yong selepas menyingkirkan Axelsen. FOTO Reuters
REAKSI gembira Tze Yong selepas menyingkirkan Axelsen. FOTO Reuters
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta sensasi apabila mengejutkan pemenang pingat emas Olimpik dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan kedua kejohanan Seluruh England, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, Tze Yong yang turun sebagai pemain bukan pilihan memulakan aksi dengan langkah kanan apabila berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 21-15.

Bagaimanapun permainan serba tidak menjadi buat pemain berusia 22 tahun apabila gagal mengekalkan momentumnya sekali gus terpaksa akur tumpas 9-21.

Memasuki set ketiga, Tze Yong berjaya menampilkan prestasi yang lebih baik untuk menyingkirkan juara bertahan itu apabila memenangi perlawanan penentuan dengan keputusan 23-21 dalam tempoh satu jam sembilan minit.

Untuk rekod ini kali pertama kedua-dua pemain itu bertemu sesama sendiri dan ia memihak kepada pemain Malaysia itu.

Menanti Tze Yong di suku akhir ialah pemain China, Li Shi Feng yang mara selepas menewaskan rakan senegara, Zhao Jun Peng dalam satu lagi aksi pusingan kedua.

Shi Feng tidak berdepan masalah untuk menumpaskan Jun Peng menerusi kemenangan straight set 21-9, 21-17 dalam tempoh 34 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 12:17 AM