BEREGU campuran negara Yap Roy King-Cheng Su Yin sumbang pingat perak. FOTO Fathil Asri
BEREGU campuran negara Yap Roy King-Cheng Su Yin sumbang pingat perak. FOTO Fathil Asri
Oleh Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu melakukan bedah siasat secara terperinci mengenai pencapaian buruk skuad badminton negara di pentas Sukan Sea Kemboja 2023.

Selepas berakhirnya saingan semalam, Malaysia gagal membawa sebarang pingat emas dalam acara badminton dengan hanya berpuas hati meraih dua perak dan empat gangsa.

Pencapaian itu menyaksikan skuad negara tidak berjaya mempertahankan satu pingat emas yang dimenangi beregu campuran Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dalam temasya sama di Vietnam, tahun lalu.

Skuad negara memulakan kempen di Kemboja dengan langkah kiri apabila skuad berpasukan wanita dimalukan Filipina di pusingan awal apabila tewas 0-3.

Dua pingat perak hadir menerusi skuad berpasukan lelaki dan satu lagi disumbangkan oleh pasangan beregu campuran, Yap Roy King-Cheng Su Yin.

Sementara itu, empat gangsa diraih menerusi dua pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao dan Lee Shun Yang serta dua pasangan beregu wanita Cheng Su Yin-Cheng Su Hui dan Lee Xin Jie-Low Yee Yuan.

Pengurus pasukan badminton negara bagi Sukan Sea Kemboja, Mohd Taupik Hussain menjelaskan pihaknya akan mengemukakan laporan mengenai prestasi pemain skuad negara pada temasya itu kepada BAM untuk tindakan lanjut.

"Saya pasti selepas laporan diberikan, akan ada tindakan susulan daripada BAM. Masih ada beberapa peningkatan yang ditunjukkan oleh kem wanita khususnya daripada beregu wanita negara.

"Selain itu, saya juga lebih suka untuk tumpukan perkara positif yang mana pasangan beregu campuran kita beraksi dengan baik sehingga melangkah ke final tetapi tidak ada rezeki untuk bergelar juara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 12:14 PM