LEONG Jun Hao. FOTO Aswadi Alias
LEONG Jun Hao. FOTO Aswadi Alias
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao dan pemain meningkat naik, Justin Hoh diletakkan sebagai sandaran untuk meraih pingat bagi skuad badminton negara di temasya Sukan Sea Kemboja Mei ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Wong Choong Hann, beliau percaya pengalaman yang dimiliki kedua-dua pemain ini dilihat mampu memberikan keputusan positif buat skuad negara.

"Kita sasarkan satu pingat... lebih realistik dalam acara perseorangan lelaki. Itupun bergantung kepada siapakah pemain yang akan disenaraikan skuad negara lain seperti Indonesia dan Thailand.

"Namun yang pasti, kita menurunkan barisan pemain muda untuk tujuan pendedahan dan jika Thailand menurunkan Kunlavut Vitidsarn sekalipun... ia akan memberi pendedahan kepada pemain kita," katanya.

Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini mengumumkan senarai 20 pemain termasuk dua simpanan yang akan menggalas cabaran di Kemboja dengan Jun Hao akan mengetuai pasukan.

Bagi acara perseorangan wanita pula, skuad negara akan mempertaruhkan tiga pemain iaitu Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching.

Dalam tu, Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky, berkata seramai tujuh pemain lelaki dan lapan wanita disenaraikan bagi menggalas tanggungjawab dalam acara beregu.

"Pemain paling senior kita pilih adalah berusia 23 tahun seramai tiga orang, yang lain adalah berusia 22 hingga 17 tahun. Bagi beregu lelaki, kita pertaruhkan gandingan Goh Boon Sze-Rayner Beh, bagi beregu campuran, kita senaraikan gandingan Yap Roy King-Yap Ling.

"Kita sasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa... ini sasaran awal kita berdasarkan senarai pemain yang kita turunkan, tanpa mengetahui perancangan negara lain,"ujar Rexy.

Untuk rekod pada edisi Sukan Sea lalu yang berlangsung di Hanoi, skuad negara berjaya meraih satu emas menerusi beregu campuran, Cheng Tan Jie-Peck Yen wei selain meraih dua perak dan satu gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 5:06 PM