JUSTIN dijangka disenaraikan skuad badminton negara ke Sukan Sea Kemboja. FOTO ARKIB NSTP
JUSTIN dijangka disenaraikan skuad badminton negara ke Sukan Sea Kemboja. FOTO ARKIB NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Akademi Badminton Malaysia (ABM) sekali lagi akan menghantar pemain muda untuk menggalas cabaran negara di Sukan Sea Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ABM, Michelle Chai berkata, pihaknya percaya barisan pemain muda itu tetap berpotensi untuk memenangi pingat emas buat kontinjen negara.

"Kami sentiasa percaya semua pemain cukup kompetitif tidak kira siapa pun yang disenaraikan.

"Walaupun kami menghantar pasukan terkuat ke Piala Sudirman, anda tidak boleh katakan yang pasukan ke Sukan Sea adalah lemah.

"Dua kejohanan itu penting sebagai sebahagian daripada Projek 2024. Kami mahu memberikan pendedahan kepada pemain muda di Sukan Sea untuk penilaian prestasi mereka," kata Michelle selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilhan ke Sukan Sea Kemboja, semalam.

Pada Sukan Sea Hanoi, Mei tahun lalu, skuad badminton negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa dengan emas disumbangkan beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Michelle berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya meletakkan sasaran buat skuad negara di Kemboja memandangkan mereka perlu menilai dahulu tahap kekuatan pasukan lawan yang turut beraksi nanti.

Beliau berkata, senarai 20 pemain (10 lelaki dan 10 wanita) ke Kemboja belum dimuktamadkan, tetapi mengesahkan tiada pemain profesional disenaraikan dalam senarai awal 38 pemain.

Antara pemain muda dijangka dipilih adalah perseorangan lelaki, Justin Hoh dan perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 2:26 PM