KAI Wun-Wei Chong menjalani latihan di ABM. -FOTO NSTP
KAI Wun-Wei Chong menjalani latihan di ABM. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Man Wei Chong melihat kehadiran pasangan Indonesia sebagai 'kacau daun' dalam usaha mereka untuk meraih pingat emas Sukan Sea Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Hal ini kerana dua pasangan Indonesia membabitkan Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan dan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin semakin membina nama di pentas antarabangsa dengan masing-masing mempamerkan aksi cukup konsisten pada penyertaan di beberapa kejohanan terdahulu.

Kai Wun, 22, berkata dia menjangkakan persaingan sengit antara mereka bagi merebut emas di temasya dwitahunan itu.

"Memang sasaran kami adalah untuk memenangi emas pada Sukan Sea kali ini. Namun, kami tidak boleh terlalu ghairah kerana sedar persaingan daripada beregu negara lain terutamanya dua pasangan Indonesia (Pramudya -Yeremia dan Carnando-Daniel) yang mampu menggugat usaha kami.

"Jadi, kami perlu berwaspada dengan dua pasangan Indonesia itu. Lagipun, sejak kebelakangan ini mereka menunjukkan prestasi yang agak konsisten," katanya.

Walaupun Kai Wun dan pasangannya berada di ranking ke-44 dunia namun mereka mempunyai cita-cita besar iaitu mempertahankan emas yang dimenangi Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki pada edisi 2019 di Manila, Filipina selepas menewaskan pasangan berpengalaman Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit dalam aksi final.

Selain Aaron-Wooi Yik, skuad badminton negara turut membawa pulang dua lagi emas dari Manila menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan perseorangan wanita, S Kisona.

Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kali ini hanya meletakkan sasaran satu emas selepas menyenaraikan barisan pemain muda di Hanoi dengan Kai Wun-Wei Chong diletakkan harapan untuk mencapai sasaran berkenaan selain dua beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 12:56 PM